Semai rasa kegembiraan, penghargaan kalangan residen, penghuni KRK



Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Pembangunan Masyarakat





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 April. – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Residen dan Penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) sempena Hari Raya Aidilfitri 1447/2026 berlangsung di Dewan Digadong, KKBS.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad dan datin.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Guru Ugama Tingkat II, KRK, Awang Haji Nordin bin Haji Duraman.


Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada pegawai dan kakitangan, serta residen dan penghuni KRK.


Adapun tujuan diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan kementerian bersama residen serta penghuni KRK dan rakan-rakan strategik KKBS.


Di samping itu, majlis ini diadakan bukan sahaja untuk mengeratkan silaturahim, malah bertujuan menyemai rasa kegembiraan dan penghargaan dalam kalangan residen dan penghuni KRK.


Turut hadir, isteri Menteri Pembangunan, Datin Fadzlin binti Haji Hashim; Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong; ketua-ketua jabatan, wakil daripada Jabatan Kehakiman Negara, Pejabat Peguam Negara, Autoriti Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Pesuruhjaya (ACWC) bagi Hal Ehwal Kanak-kanak, Pesuruhjaya (ACWC) bagi Hal Ehwal Wanita, serta Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Majlis.


Close